Pemandu mabuk sebabkan kematian


Kuching: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum terlanggar pokok di Jalan Stutong berdekatan bulatan menghala ke Taman BDC, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk penumpang bahagian depan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Kenari dinaiki tiga lelaki berusia 20 hingga 22 tahun itu hilang kawalan sebelum terbabas.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit berada di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Umum Sarawak esok manakala pemandu disiasat mengikut Seksyen 44, Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM50,000," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 2.58 pagi.

"Setibanya di lokasi didapati pemandu dan penumpang bahagian belakang yang mengalami kecederaan sudah dikeluarkan oleh orang awam manakala penumpang yang duduk di bahagian depan tersepit.

"Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.



Sumber - HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->